My photo
Menulis adalah minat saya. Semoga saya terus dikurniakan ilham untuk berbicara melalui pena.

Wednesday, January 16, 2013

Biar Berbeza Kepala Namun hati tetap sama

Beberapa minggu selepas saya postkan entry bertajuk 'belajar menerima perbezaan pendapat'...
kebetulan Uzt Pahrol Juoi  rasa juga membuat ulasan mengenai isu yang sama dan sangat suka untuk saya kongsi bersama-sama. Saya ambil sebahagian sahaja daripa artikel beliau memalui alamat web Genta Rasa.



BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!  
  
Imam Safie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.

Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.

Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Lihat betapa tingginya keperibadian Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.”

Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, “wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.

Sekarang, lihat pula bagaimana hormat guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal.”
Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru (bermusuhan). 

Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap bersatu.

Berbeza benar keadaannya dengan masa kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.

Umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke hati umat.

Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.

Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?

Tika Ujian Menyapa




Ya ALLAH…

Ampunilah dosa kami
Bantulah kami
Dalam menjaga akal dan hati
Dan perbuatan kami dari perkara-perkara
Yang boleh mendatangkan kemurkaan MU
Pada kami yang tersangat lemah
Ilmu kami tidak sampai sebesar lubang jarum
Berbanding dengan ciptaan lautan luas MU
Bahkan kami selalu menurut hawa nafsu
Biarpun firman MU
Dan sunnah kekasih MU
Ada di bumi mu
Permudahkanlah urusan kami

Aminn… 


Diambil dari
"Tuhan sedang menguji kita"
Ust Kazim Elias

Wednesday, January 02, 2013

Belajar terima Perbezaan Pendapat



Jelas sekali Islam tidak menghalang perbezaan pendapat selagi ia tidak menjejaskan perkara pokok dan akidah umat. Jika tidak mana mungkin 4 mazhab dari imam yang agung dipraktikkan sehingga kini tanpa ada sebarang pergaduhan sesama mazhab…

Ambil sahaja contoh mudah Imam Syafie yang juga merupakan anak murid Imam Maliki. Masing-masing punyai pendapat masing-masing. Walaupun statusnya seorang pernah menjadi anak murid dan seorang lagi guru. Tidak terkesankah dihati Imam Maliki bila Imam Syafie mengeluarkan nas-nas yang adakalanya bertentangan dengan pendapatnya?

Jika menyorot kembali kisah 2 imam agung ini… ada sahaja pihak yang cuba melagakan dua imam besar ini. Hakikatnya apabila kita berada didunia yang dahaga ilmu… perbincangan dan kepincangan sering kali berlaku. Selaku pencari ilmu tulen… mereka ini telah pun sedia berlapang dada tatkala sebutir perkataan keluar dari mulut dan lidah berkata-kata. Mereka ini adalah dikalangan yang sukakan perbincangan samada terbuka mahupun tertutup… komen, kritikan bagi mereka adalah sesuatu yang lazim dan tiada kesan pada hati mahupun peribadi walaupun kritikan dibuat secara terbuka atau umum. Walaupun akhirnya pendapat tetap berbaza… jelasnya masing-masing menghormati pengamatan dan penelitian yang telah dilakukan oleh kedua mereka. Pembuktian memang tidak dapat disangkal kerana keduanya adalah tersohor sekali ilmunya maka tidak pernah ada perlumbaan yang mana lebih baik mahupun labih afdal… yang pasti kedua mereka itu ada dalilnya tersendiri dan masing-masing menghormati pembuktian masing-masing.

Malah Imam Malik berpendapat bahawa Imam Syafie itu hatinya terang, ibadatnya tak dapat disangkal, hadith yang dihafalnya jauh lebih banyak dari dirinya… dia berguru dengan banyak guru selain dirinya, maka apa yang keluar dari mulut Imam Syafie tidak lain dari membawa kebaikan walaupun jelas sekali bertentangan dengan hujahnya. Jelas sekali Imam Maliki tidak melenting dengan perbezaan fatwa antara dirinya dengan Imam Syafie. malah mereka menghormati sesama sendiri.

Bagi kita yang jarang terdedah dengan perbincangan terbuka…. Pasti kita akan lihat seolah ada dua pihak. Pihak A dan Pihak B. sedangkan dua orang yang diatas (yang berkata-kata) tidak pernah membezakan sesama sendiri. Kita melompat bila di negara ini ada dua puak yang mengeluarkan fatwa berbeza.  Contoh mudah adalah Fatwa mengenai ASB. Antara fatwa harus oleh  Majlis Fatwa Kebangsaan dan Haram pula dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Sekali imbas bila saya melihat sorotan percanggahan ini (termasuk diri saya sendiri di entri ini), bila memilih untuk mengikut fatwa di satu pihak… maka jangan sesekali menjatuhkan kesalahan pada satu pihak lagi… ia seolah-olah… kerana kita pengikut Mazhab Syafie… maka percanggahan pada Mazhab Maliki adalah tidak betul!! (ada berani nak cakap macam tu).

Kerana mereka yang mengeluarkan fatwa ini adalah jauh lebih arif dalam ilmu dan agama (kedua pihak), maka siapa pula kita yang mahu menjatuhkan kesalahan atau ketidak-betul itu… dipihak kita yang daif dengan ilmu tidak perlu lagi untuk dibahaskan mahu pun dibuat kesimpulan… apatah lagi mahu mentafsirkan bahawa dua pihak berbalah…

ASB tadi hanya contoh/analogi yang dibawa… isunya lebih dari itu… kerana saya lihat budaya masyarakat Malaysia dalam mambahaskan ilmu secara terbuka adalah kurang…dek kerana penerimaan masyarakat sangat tidak matang. Ibarat yang di atas berbincang dibawah pula bergaduh… kita mudah menghukum ini betul ini tak betul… bukan sahaja dari aspek isu agama… malah dari sudut keilmuan lain hatta termasuk politik sakalipun…

Kerana penerimaan masyarakat Malaysia yang ‘tidak senang’ dengan perbezaan pendapat… maka budaya perbahasan ilmu secara umum jarang berlaku. Saya pasti kita terdidik dengan cara liputan media yang lebih senang berpihak pada satu belah berbanding membuat liputan menyeluruh pro dan kontra kedua pihak sekali gus…

Siapa yang perlu kita tunding jari
Para ilmuan kah yang tidak mendidik kita supaya bersifat terbuka?
Kita sendirikah yang suka menjatuhkan hukum?
Atau media yang kurang matang dalam memberi liputan?

Kita fikirkan sendiri… dalam membawa budaya masyarakat… ia bermula dengan diri sendiri.. maka bermula dari saat ini, bukakan minda kita, buangkan ego kita, dan terimalah bahawa hakikatnya manusia itu berbeza maka percanggahan pendapat adalah satu fitrah dan kelaziman yang pasti akan berlaku dan bukan untuk diperdebatkan apatah lagi dikritik sehingga membawa kepada pertelagahan dan mewujudkan dua pihak yang tidak lagi sekepala…


Hari ini ramai antara kita ‘berilmu’ dek tahap pendidikan yang semakin baik…
Namun budaya masyarakat ‘berilmu’ itu tetap tidak berubah… kita masih ditakuk lama. Jika begini keadaannya tidak mustahil jika seluruh rakyat Malaysia punya sekurang-kurangnya segulung ijazah sekalipun… ketamadunan yang tinggi tetap tidak akan terlaksana…

Mulalah menjadi dan berperibadi sebagai masyarakat yang berilmu… jangan hanya laju dibibir dan mendabik dada tentang tingginya ilmu kita… betapa intelektualnya kita, berapa gulung ijazah/diploma/master/PhD yang disimpan…
Sedangkan…
minda kita tidak sedikitpun mencerminkan tingginya intelektual kita sebagaimana tingginya tahap pendidikan kita…. Kita berdebat dan berdiskusi untuk menambahkan lagi ilmu. Kalau salah kita terima… kalau tak jumpa penghujungnya tak perlulah dipanjangkan lagi… terima hakikat kedua pihak ada betulnya maka kita berpisah disini (disudut pendapat itu sahaja tidak sampai wujud dua kroni).

Jangan terkejut… bila kita jumpa seorang yang tidak berpendidikan tapi mempraktikkan budaya keilmuan jauh lebih baik dari kita yang punya segulung ijazah. Tidak malukah kita?

Usahkan minda kita dikelas ketiga… buku pun kita malas baca (geleng kepala). 
kita melenting bila orang dibawah kita (persepsi) menegur kita... 
kita lebih suka berpersepsi dari berdiskusi...

Mulalah menjadi siapa yang sepatutnya kita jadi…

Saya???
Buka post 2013 dengan bebelan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terima Kasih