kebetulan Uzt Pahrol Juoi rasa juga membuat ulasan mengenai isu yang sama dan sangat suka untuk saya kongsi bersama-sama. Saya ambil sebahagian sahaja daripa artikel beliau memalui alamat web Genta Rasa.
BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!  
Imam Safie rhm pernah berkata, “pandangan
 ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun
 betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi 
perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain 
tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam
 besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak 
dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri 
mereka.
Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu 
masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil 
perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang 
terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu 
semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. 
Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan 
pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi 
satu rahmat kepada masyarat.
Ya, berbeza pandangan tidak menjadi 
masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah 
kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya 
hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia 
dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan 
diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali 
menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi 
perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu 
pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang 
dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 
Lihat betapa tingginya keperibadian 
Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam
 Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam
 Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka 
Malik adalah bintangnya.”
Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid
 kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza 
dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku 
tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam 
Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar 
ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, 
“wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada
 manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.
Sekarang, lihat pula bagaimana hormat 
guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah 
berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang 
yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding 
Ahmad bin Hanbal.”
Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan
 pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru 
(bermusuhan). 
Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang 
inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang 
benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati
 para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di 
kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap 
bersatu.
Berbeza benar keadaannya dengan masa 
kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di 
kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap 
memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang 
buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika 
adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan
 dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita 
bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak 
berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah 
menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.
Umat akhir zaman ini tidak hanya 
memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan 
amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al 
Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih 
sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang 
bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para
 anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke 
hati umat.
Kata bijak pandai, “people dont care how 
much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli 
berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil 
peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam 
masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. 
Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala 
kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat 
mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.
Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ 
yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya
 kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama 
rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. 
Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat
 ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?

 
 
 
No comments:
Post a Comment