Tuesday, April 09, 2013

Sekelumit Nyawa Yang Resah





Seketika lalu saya teringat sesuatu perkara… (lari sebentar dari isu semasa yang tidak terlepas dari sebarang media massa). Malah kembali kepada isu masalah kebejatan social yang semakin pasti tidak ada jalan penyelesaian. Saya acapkali suka berfikir…. Memikirkan… cuba merasai… menghayati… apa perasaan saya jika saya ditempat mereka?

Kita seringkali suka menghukum… sedangkan yang berhak menghukum adalah Tuhannya. Kita sepatutnya membantu. Jangan biarkan dia membuat dosa yang seterusnya. Kita sepatutnya disisinya. Memberitahu… belum terlewat untuknya kembali ke norma fitrah kehidupannya.

Bila cadangan untuk mewujudkan ‘baby hatch’ (atau istilah kasar pusat buangan bayi), dilontarkan… masyarakat membentak. Konon akan memangkinkan lagi aktiviti tidak bermoral… masyarakat memandang rendah pusat-pusat jagaan dan perlindungan ibu/remaja yang mengalami masalah social… adakah dengan tindakan itu dapat menyelesaikan masalah penzinaan/ pengguguran haram / pembuangan bayi?

Masyarakat secara tidak sengaja dan tidak sedar memangkinkan lagi tindakan tidak bermoral golongan ini. Sudahlah berzina… lalu digugurkan kandungan… atau dibuang bayi… sedangkan dipihak ‘dia’, dia merasakan itu adalah jalan penyelesaian terbaik untuk dirinya… dimana kita untuk membantu… memberitahu… menunjuk jalan. Sekurangnya menyediakan fasiliti ‘pembuangan bayi’ dapat menyelamatkan bayi yang tidak berdosa dan juga menghalang ‘dosa’ pembunuhan yang bakal dilakukan oleh ibu/bapa.

Saya tidak merasakan ia adalah satu galakan untuk terus memangkinkan isu moral dan keruntuhan akhlak. Tidak ada wanita yang sanggup bersusah payah untuk hamil 9 bulan 10 hari hanya akhirnya untuk membuang bayi tersebut. Saya yakin pasti ada sedikit sifat kemanusiaan dan keibuan yang akhirnya di pendam dengan desakan hidup sekeliling yang tidak membantu dan menyokong….

Gila namanya seorang wanita yang sanggup menahan sakit menggugurkan kandungan berulangkali, mengambil risiko kesihatan berpanjangan dan hanya kemudian tidak serik dan keruntuhan menyelubungi sepanjang hayat. Pasti ada kalau tidak banyak pun sedikit kekesalan atas perbuatan ketelanjuran yang memaksa dia menggadaikan kesihatan diri… lalu dimana kita untuk mencambah rasa kesal yang terbit itu. Kita hanya meranapkan terus rasa kesal lalu hilangkannya dalam diri dia yang telah membuat salah.

Hasilnya… golongan sebegini hilang kepercayaan kepada masyarakat dan yakin masyarakat tidak akan menerima mereka…

Sedikit kisah untuk dikongsi bersama…
Ketika menjadi felo kolej penginapan sebuah universiti perdana tempatan….

Saya menerima panggilan dari seorang pelajar… lantas saya bergegas ke bilik penginapannya yang hanya bebeza blok dari bilik saya. Bersama dengan seorang teman se-felo kami melawat seorang pelajar yang sedang kesakitan…

Mukanya pucat … badannya yang sederhana kurus itu memang Nampak lemah longlai. Dia berbaring sambil bahunya dipangku oleh rakannya. Ada 2 orang lagi rakan lain yang menunggu… berkongsi penderitaan. Bila ditanya soalan… hanya anggukan dan gelengan yang mampu diberi… dia memang tenat. Saya pegang badannya… tidak panas. Kata rakannya… semuanya sakit… sakit kepala… lamah badan.. sendi… semuanya sakit. Bercelaru kami berdua sebentar…

Cuba mencari doktor universiti yang merawat pelajar ini… akhirnya kami temui nombor telefon pribadi. Malam itu juga kami adukan masalah pesakitnya ini. Doktor tersebut meyakinkan bahawa kami tidak perlu risau… lalu telefon beralih tangan kepada sipesakit. Entah apa yang dibualkan oleh doctor-pesakit kami tidak pasti. Tapi setelah talifon dimatikan, jelas nampak muka kekecewaan pada pelajar yang sakit dan juga rakan-rakannya. Kami digesa oleh rakan pelajar tersebut untuk menghantar ke klinik / hospital lain dan mengabaikan nasihat doctor sebentar tadi… namun memikirkan doctor yang merawat pelajar ini adalah doctor yang paling mengikuti pekembangan ‘sakit’ pelajar ini, kami abaikan cadangan tersebut. Pertemuan itu diakhiri dengan kata semangat saya kepada pelajar tersebut. Hingga detik perpisahan tersebut… saya mahupun rakan saya tidak tahu apa sakit pelajar tersebut… namun saya yakin ia pasti satu sakit yang kritikal atau sakit yang perlu pemantauan doctor kerana sepanjang rawatan di hospital university dia telah ditempatkan khas di bawah pantauan doktor yang kami telifon tadi. Saya masih ingat kata-kata doctor tersebut

“ sakit si### adalah kerana masalah dia sendiri… orang lain tak boleh tolong, saya pun tak boleh tolong. Tapi tolanglah bantu dia bagi semangat….”

Malam itu saya tidur lena.. jelas saya tidak begitu risaukan pelajar semalam. Pada hemat saya insyaallah tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Hari itu hari khamis… saya perlu hadirkan diri ke makmal pelajar tahun 1… sepanjang hari saya perlu awasi pelajar yang datang untuk kelas praktikal hari itu pada sesi pagi dan petang…Saya bersiap awal namun terganggu dengan bunyi siren ambulan lebih kurang jam 8 pagi. Saya lihat pelajar yang saya ziarahi semalan diusung… mulutnya berbuih… hati saya berdebar…

Kekangan jadual praktikal makmal hari itu tidak membolehkan saya pergi menziarah pelajar tersebut yang saya yakin ke hospital universiti. Akhirnya lewat petang saya terima berita kematiannya. Saya diselubungi rasa bersalah… salahkah saya yang mengabaikan dia semalam… tidak membawa ke hospital ‘lain’.

Apa yang berlaku kepada pelajar tersebut… hanya saya tahu kemudian…
dia mati akibat kerosakkan hati… dia ambil sesuatu yang bersifat toksik pada badan (yang saya tidak tahu apa…) untuk manggugurkan kandungan… dia hamil… nyata doctor yang merawatnya itu kecewa dengan tindakan nya. Memang benarlah kata doctor tersebut… sesiapa pun tak boleh tolong. Hanya boleh bagi semangat. Tapi ketika saya menziarahi dia… saya kira sudah sedikit terlewat. Racun sudah ada dalam badan.

Namun yang mahu saya sampaikan dan kita semua fikirkan… apa yang menyebabkan arwah pelajar tersebut mengambil tindakan sedemikian. Dia anak tunggal perempuan dalam keluarga. Dialah racun dialah penawar dan dia dibuang oleh keluarganya. Dia tertekan… dia dihuni rasa kerendahan jiwa amat sangat dalam kehidupan masyarakat yang suka menghukum. Ya… dia bersalah dan dia sudah dapat hukuman dari tuhannya. Dan dia terus dihukum oleh keluarga dan masyarakat disekelingnya.

Saya memikirkan yang dia tertekan… disalut rasa bersalah yang tebal. Merindui ibu dan ayah. Tiada lagi pelukan untuknya. Tidak Nampak bayang pintu rumah itu terbuka untuknya. hilang mimpi-mimpi indah. terasa musnah ranap impiannya... terasa tiada masa depannya....Tidak ada senyuman tawa masyarakat untuknya… terasa dia sendirian membawa beban dalam perutnya. Sedangkan yang dia rasakan beban itu adalah penawar hati Tuhan untuknya. Nyawa yang bakal meneruskan darah dagingnya di bumi Tuhannya sudah tidak bernyawa… 

Sudah tidak ada apa-apa lagikah untuknya??

Dia juga akhirnya terkulai tidak bernyawa…

No comments:

Post a Comment

penjagaan bayam

Bayam hijau daun bulat. Sebelum dan selepas digondolkan. Manis masak lemak putih. Menuai bayam. Induk...