Thursday, June 07, 2012

Bermain dan terus Bermain



 Sejak saya bekerja dan bergelar ummu aiesyah… saya memang jarang menonton TV. Kalau menonton pun jiwa saya dan minda saya kosong kerana saya menghadap dan menonton sesuatu yang kosong. Kalau rakan-rakan saya asyik bercerita macam-macam drama bersiri melayu yang semasa disiarkan, saya hanya diamkan diri. Sedikit minat pun tiada dalam hati nak mengikuti perbualan apatah lagi menjengah ke drama-drama TV. Kadang-kadang terserempak juga dengan cerita-cerita yang kadang kala menarik hati juga tapi ia bagaikan angin lalu. Tengok ok tak dapat tengok pun tak apa…

Rasanya saya lebih suka tengok barney atau dora dengan anak kecil saya. Melihat bagaimana tangan dan kakinya yang digerakkan cuba meniru gaya-gaya kartun yang ditontonnya mencuit hati saya. Saya menghafal nyanyian lagu-lagu yang diketahui oleh anak saya. Mengajarnya lagu-lagu dan zikir-zikir baru dan kadang kala dia yang mengajar saya nyanyian yang diajar di sekolahnya. Bermain dengan anak kecil ini benar benar menghayutkan saya pada zaman kanak-kanak saya. Selalu juga saya ditegur suami melihat keanak-anakan saya yang terserlah bila bermain atau bergaduh dengan anak kecil ini… selalu saya berpegangang kedua belah tangan dengan si kecil berpusing dan menari-nari. Buka buku sambil bercerita penuh ghairah dengan si kecil yang yang tak berkelip matanya… menyusun lego, membina jalan keretapi, bermain masak-masak sudah menjadi hobi saya… menyanyi sambil memetik piano dan cuba mengajarnya memetik keyboard yang sampai sekarang pun belum dikuasainya. Dunia sikecil memang leka bermain.

Kerana terlalu kerap menjadi peneman main anak kecil ini, saya seringkali diajak bermain. Walaupun sedang letih atau sedang menumpukan perhatian kepada perkara lain. Kadangkala saya jadi marah… melihat anak ini asyik bermain sepanjang masa. Tak ingat makan atau tidur. Setiap masa jaganya hanya bermain dan saya sering menjadi mangsa mainnya. Si kecil ini akan marah dan menangis bila saya tidak mahu bermain.

Hati tua saya jadi kaget melihat keletah anak ini yang hanya mahu bermain sahaja… direstoran dia bermain dengan makanannya sehingga bersepah-sepah dilantai menaikkan marah saya. Di kedai dia berlari-lari bagaikan taman permainan sehingga tak terkejar oleh saya. Di pasaraya dia berbaring dan bergolek-golek seperti ada hamparan permaidani. Segalanya membuatkan hati saya panas dan menggelegak… rasanya mahu saja saya tampar anak ini. Hati ini masih sabar memikirkan anak ini masih kecil dan tak mengerti lagi… malu juga bila ada sahaja mata-mata lain yang memandang… 


Jauh saya berfikir… betapa lasaknya sikecil ini bila bersama dengan saya. Kurang lasaknya bila saya tiada… (ditadika dan rumah pengasuh dialah yang paling baik…). Jauh juga fikiran saya berfikir. Saya senyum sendiri. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi….

Sama seperti saya. Zaman kanak-kanak saya hanya depenuhi dengan bermain. Saya pernah bina pondok rahsia ditepi stor bawah pokok betik yang sekarang mama jadikan pondok dapur. Saya pernah pasang jerat mengenakan kawan-kawan seperumahan. Saya hampir dihanyutkan sungai dek kerana confident kaki kecil saya mampu mengharunginarus deras sungai rumah Tok Wan. Kaki saya pernah berbalut kerana luka yang besar. Jari saya hampir terpotong dihiris pisau oleh saya sendiri. Adik saya dijahit kepala dek kerana saya main sampan di tangga (ada logikkah?). Saya kerap kali menjadi ayam tambatan pasukan dalam segenap pemainan sama ada bola lisut, bola jaring dan lain-lain sukan.

Asyik nya saya dengan bermain hinggakan saya acapkali dimarah mama kerana pulang lewat senja. Lupa pesanan mama angkat baju di ampaian jika hujan kerana leka bermain. Selalu dimarah guru kerana lupa buat kerja sekolah sebab asyik bermain. Malah pernah dipanggil guru besar kerana kerap meninggalkan kerja sekolah. Saya masih belum lupa seronoknya kami adik beradik bermain hujan lebat dan lumpur di depan rumah. Memunggah barang persolekan mama dan membuat sepah di rumah...... Pendek kata hidup saya hanya bermain dan tidak ada apa yang lain lebih seronok dari bermain ketika itu….

Hakikatnya….
Jiwa kanak-kanak memang suka bermain….
Cuma kita yang dewasa telah terlupa

Betapa seronoknya bermain….

No comments:

Post a Comment

penjagaan bayam

Bayam hijau daun bulat. Sebelum dan selepas digondolkan. Manis masak lemak putih. Menuai bayam. Induk...